Saya dan suami seringkali bergaduh, dalam pergaduhan beberapa minggu lepas, suami telah bertindak memukul saya dengan menggunakan senjata tajam. Suami juga mendera mental dan fizikal saya. Beberapa hari selepas itu, saya telah bertindak melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan oleh suami . Suami telah mencanangkan kepada keluarga dan kawan-kawan saya bahawa saya sebagai isteri yang nusyuz? Adakah saya telah disabitkan sebagai seorang isteri yang nusyuz?
Untuk makluman puan, sabitan sama ada seorang isteri tersebut nusyuz atau pun tidak sebenarnya tidak sesewenang-wenangnya boleh ditentukan oleh seseorang suami. Dakwaan bahawa seseorang isteri itu telah nusyuz adalah dengan si suami mengemukakan terlebih dahulu tuntutan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah. Setelah itu, di dalam prosiding perbicaraan, suami hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuatnya terhadap isteri. Hakim Syarie adalah orang yang kompeten untuk memutuskan sama ada telah berlaku perbuatan nusyuz tersebut atau sebaliknya seterusnya mensabitkan seseorang isteri itu telah nusyuz. Hak seseorang isteri tidak sesekali gugur sehinggalah sabitan nusyuz diputuskan di Mahkamah Syariah.