Mahkamah Rendah Syariah Negeri Kelantan ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen No.3 Pentadbiran Mahkamah Syariah Tahun 1982. Akta tersebut memperuntukan bahawa “Duli Yang Maha Mulia Sultan, di atas nasihat majlis melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Kelantan di tempat-tempat yang difikirkannya patut.
Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah .
Selain itu dalam bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah iaitu:
(a) Dalam bidang kuasa jenayahnya membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Kelantan) 1982 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan bagi kesalahan itu; dan
(b) Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan pembicaraan mengikut kuasa yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar dan memutuskannya,jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang, dikecualikan dalam perkara nasab, penjagaan atau pemeliharaan kanak-kanak (hadhanah) atau harta sepencarian.
Rayauan Dari Keputusan Mahkamah Rendah
Sesuatu rayuan dari keputusan Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah mengikut cara berikut;-
(a) Dalam bidangkuasa jenayah, oleh pendakwa atau orang yang disabitkan kesalahan dan rayuan ini dibuat terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripada keputusan tersebut; atau
(b) Dalam bidangkuasa Mal;-
(i) oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu, jika jumlah yang dituntut itu tidak kurang dari lima ratus ringgit.
(ii) dalam semua kes yang melibatkan mana-mana keputusan mengenai status peribadi, oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu;
(iii) dalam semua kes yang berkaitan dengan nafkah tanggungan oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu.
(c) Dalam kes-kes lain, dengan kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah.