faq Soalan Lazim hubungi Hubungi Kami maklumbalas Aduan & Maklum Balas petalaman Peta Laman    
      warna1   warna2   warna3      
enms
A- A A+

Zihar

User Rating: 3 / 5

Star ActiveStar ActiveStar ActiveStar InactiveStar Inactive
 

Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang  menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian ZIHAR tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman (Surah Al-Mujadalah : ayat 2)yang maksudnya:

"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"

"Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri."

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat  rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang sudah tertalak tetapi masih dalam talak rajI iaitu isteri yang masih di   dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (muhram suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.
 

Senarai muhram suami

Ada empat peringkat yang mana boleh berlaku muhram dengan suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:

1. Secara nasab atau keturunan

1. Ibu kandung suami.
2. Nenek (opah) kandung suami.
3. Anak saudara perempuan suami termasuklah anak saudara kakak atau abang suami.
4. Anak saudara perempuan dari pihak isteri. Ia juga tidak boleh disamakan dengan isterinya walaupun pada zahirnya suami tidak ada pertalian darah dengannya tetapi dalam hal ini anak saudara tersebut telah menjadi muhram sementara kepada suami, sebabnya suami tidak boleh mengahwininya yakni memadukannya dengan isterinya selagi hayat isterinya masih ada. Hubungan muhram ini akan terputus sebaik sahaja suami itu bercerai hidup atau bercerai mati dengan isteri tersebut, setelah itu barulah suami itu boleh berkahwin dengan anak saudara perempuan isteri.
5. Cucu saudara perempuan suami.
6. Adik beradik perempuan suami, ini termasuklah adik beradik kandung dan adik beradik tirinya samada sebelah ibu atau bapa sahaja.
7. Ibu saudara suami.
8. Anak kandung suami isteri.
9. Anak suami (anak tiri isteri).
10. Anak isteri (anak tiri suami).

2. Muhram berambil-ambilan

Muhram boleh berlaku melalui perkahwinan bapa dengan seorang perempuan. Perempuan yang dimaksudkan itu ialah ibu tiri. Mana-mana perempuan yang menjadi ibu tiri kita, dia adalah muhram dan haram dinikahi serta ditegah menyerupakan isteri dengannya.

Tapi mesti dengan satu syarat, seorang suami itu mestilah telah mempunyai ibu tiri sebelum dia dilahirkan ke dunia lagi. Hanya ibu tiri yang ini saja yang tidak boleh disamakan dengan isterinya.

3. Muhram secara ridha (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu kepada ayah atau ibu suami), kerana semasa ayah atau ibu suami menyusu kepada ibu susunya, ia belum lahir ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah susu.

4. Ibu mertua

Muhram juga boleh berlaku melalui nikah. Di mana apabila seseorang lelaki itu menikahi seorang wanita, ibu isteri telah menjadi ibu mertua suami. Kedudukan ibu mertua kepada suami adalah seperti ibunya juga.

Kalau seorang suami itu memiliki 2, 3 atau 4 orang isteri, maka dia telah mempunyai 2, 3 atau 4 orang ibu mertua. Katakanlah pada suatu hari, suami telah menceraikan isteri keduanya. Walaupun dia telah bercerai dengan isterinya tetapi hubungan suami dengan ibu mertua keduanya tetap kekal selagi hayat masih ada. Dia telah menjadi muhram kekal. Kedudukan ini samalah dengan cerai mati.Perlu diingat, 2, 3 atau 4 orang isteri itu jangan sekali-kali kita samakan dengan mana-mana ibu mertua kita yang lainnya kerana ia boleh menjatuhkan zihar kepada isteri.

Hukum zihar

Zihar hukumnya haram. Ini bermakna lelaki yang menziharkan isterinya dikira berdosa kerana mengharamkan perkara yang halal. Perbuatan zihar sekali imbas dapat dilihat seakan-akan ila kerana kedua-duanya adalah satu pernyataan untuk tidak bersetubuh dengan isteri dan persetubuhan hanya boleh dilakukan setelah membayar kifarat (denda).

Bentuk

Zihar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:
1. Zihar mutlak seperti kata suami kepada isterinya, Kamu seperti ibu aku atau Hidung kamu seperti hidung ibu aku.
2. Zihar secara taklik seperti kata suami kepada isterinya, Kalau kamu pakai blouse tu, aku nampak kamu macam adik perempuanku.
3. Zihar sementara seperti kata suami kepada isteri, Pada bulan puasa, kamu macam ibuku.

Implikasi

Apabila telah berlaku zihar, maka suami diharamkam bersetubuh dengan isterinya kecuali setelah membayar kifarat (denda).

Kifarat

Terdapat tiga jenis kifarat zihar mengikut keutamaan iaitu:
1. Membebaskan (memerdekakan ) seorang hamba Muslim.
2. Berpuasa dua bulan berturut-turut.
3. Memberi makan enam puluh orang miskin dengan secupak beras setiap seorang atau dinilaikan harga makanan tersebut.

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta | Peta Laman | Penafian 
Terma dan Syarat | Perkhidmatan Pelanggan
"Paparan terbaik ,menggunakan Chrome dengan resolusi 1024 x 800"

© Hakcipta Terpelihara 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan
Pendaftaran Kes Jenayah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSN)
KELGOV PPST

JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KELANTAN

Arkib Berita Terkini

DASAR PRIVASI