Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama melalui segala cabaran pahit manis pada tahun 2022 ini. Di kesempatan ini, saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2023 buat seluruh warga Jabatan Kehakiman SyariahNegeri Kelantan yang saya kasihi sekalian.
Saya berharap agar semua warga JKSKN dapat memulakan tahun baru 2023 ini dengan penuh semangat, azam serta iltizam yang tinggi. Semoga tahun yang akan datang bakal memberikan peluang untuk kita lebih berjaya dan cemerlang.
Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JKSKN kerana telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bersungguh -sungguh sepanjang tahun 2022 berjaya mengharungi cabaran hebat sepanjang tahun 2022 dengan keazaman dan kecekalan demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pihak yang memerlukan khidmat JKSKN.
Besar harapan saya agar seluruh warga kerja JKSKN megamalkan budaya kerja Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI) selaras dengan dasar yang diterapkan dalam pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan.
Prinsip Ubudiyyah ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.
Ini sebagaimana Allah s.w.t berfirman di dalam surah Az-Zaariyat ayat 56 :
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
Ayat Al-Quran ini jelas menyebut tujuan diciptakan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah. Maka setiap pekerjaan dan perbuatan hendaklah selaras dengan agama Islam supaya ia dikira ibadah di sisi Allah. Termasuklah juga dalam soal pentadbiran dan pemerintahan.
Masuliyyah adalah prinsip berkaitan amanah dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala. Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.
Itqan ialah prinsip yang menekankan kepada akhlaq dan amalan soleh. Setiap manusia ini perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan soal keikhlasan, atau juga dipanggil kerja bermutu atau kita panggil ia sebagai itqan dan ini adalah dari ajaran Islam yang mana ajaran inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.
Dengan amalan budaya kerja UMI dapat melahirkan warga kerja yang berintegriti, amanah dan cekap.
Dengan adanya Sistem E-Syariah Versi 3 diharapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya di mana pendaftaran dan pengurusan kes-kes melalui system yang baharu ini mampu memberikan impak yang berkesan terhadap perkhidmatan JKSKN kepada pelanggan.
Saya juga ingin mengingatkan kepada seluruh kakitangan JKSKN agar dapat melaksanakan gerak kerja dengan strategi yang kreatif dan inovatif bertujuan untuk mencapai misi dan visi JKSKN untuk tahun 2023. Ini bertujuan untuk mengatur dan membentuk halatuju jabatan yang jelas dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Apa-apa perancangan yang tidak dapat disempurnakan pada tahun 2022 diharapkan berjaya diteruskan dan dilaksanakan dengan cemerlang pada tahun 2023 demi meningkatkan martabat JKSKN.
Selain itu juga harapan saya agar warga kerja JKSKN bekerja bersama-sama dan bersatu hati serta berusaha dengan penuh komited untuk meneruskan segala perancangan pada tahun hadapan demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Akhir kata, Saya memohon ke hadrat Allah s.w.t, agar seluruh warga kerja JKSKN diberkati Allah. Saya mendoakan segala usaha kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan kita ditahun-tahun mendatang khasnya tahun 2023.
Marilah kita bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2023 dengan lebih cemerlang daripada tahun-tahun sebelumnya, InsyaAllah. Diharap semua ini dapat menjadi pemangkin untuk kita terus berusaha dengan lebih kuat lagi pada tahun hadapan. Semoga Allah s.w.t merahmati kita semua.
Selamat Tahun Baru 2023.
YAA DATO' HAJI IBRAHIM BIN DERIS
KETUA HAKIM SYARIE
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KELANTAN